Friday, March 26, 2010

jawapan seorang sufi

Jawapan Seorang Sufi
*~*~*~*~*~*~*~*~*~*
Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi dan mengemukakan
beberapa soalan. Soalan pertama : "Saudara kata Tuhan wujud,
tetapi saya tidak
pernah melihatnya. Cuba tunjukkan saya di mana Tuhan berada."

Kedua, "Mengapa manusia mesti dihukum apabila melakukan
kesalahan sedangkan semua itu adalah kehendak Tuhan? Manusia tidak punya
kehendak bebas, tidak dapat melakukan sesuatu bertentangan dengan kehandak
Tuhan."

Ketiga, "Mengapa Tuhan menghukum syaitan dengan membakarnya dalam
neraka? Bukankah syaitan itu berasal daripada api, jadi tentulah
api tidak dapat memudaratkan dirinya?"

Ahli sufi itu tidak memberikan sebarang jawapan sebaliknya mengambil
seketul tanah keras dan membaling kepala lelaki yang bertanya itu.
Disebabkan tidak puas hati dengan tindakan ahli sufi itu, lelaki
yang bertanya tadi pergi mengadu kepada seorang hakim.

"Saya mengemukakan tiga soalan kepadanya tetapi dia membaling
kepala saya dengan seketul tanah keras lalu menyebabkan kepala saya
bengkak dan
sakit." katanya. Hakim memerintahkan supaya ahli sufi berkenaan
dipanggil dan apabila ahli sufi itu tiba hakim bertanya, "Lelaki
ini mengemukakan beberapa soalan dan kamu menjawabnya dengan membaling
kepalanya dengan tanah, mengapa?"
Jawab ahli sufi itu, "Ketulan tanah keras itulah jawapan kepada
soalannya tadi : Pertama, dia kata kepalanya sakit, sila tunjukkan
di mana letaknya sakit itu, barulah nanti saya tunjukkan di mana Tuhan
berada. Kedua, mengapa dia mengadu pada tuan mengenai saya
sedangkan apa
yang saya lakukan semuanya adalah atas kehendak Tuhan. Dan ketiga, yang
saya gunakan untuk membalingnya adalah tanah, mengapa pula dia kata
dia tercedera disebabkan itu? Bukankah manusia diperbuat daripada
tanah?"

Lelaki itu senyap tidak berkata apa-apa dan hakim pula sangat puas
hati dengan jawapan ahli sufi itu.

Thursday, March 4, 2010

berlabuhlah malam